Saya ingin memberi komen selepas melihat satu PERHIMPUNAN AMAN PROTES yang dianjurkan oleh pembangkang dan NGO bagi membantah kenaikan harga barang terutamanya harga minyak yang diadakan di KLCC baru-baru ini. Sebagai seorang rakyat MALAYSIA yang bertanggungjawab, yang cintakan keamanan dan tanahairnya, berpendapat sepatutnya perhimpunan tersebut tidaklah seharusnya diadakan kerana setahu saya perhimpunan tersebut tidak mendapat kelulusan permit dari pihak berkuasa dan melanggar arahan mahkamah agar tidak meneruskan perhimpunan tersebut. Secara tidak langsungnya, perhimpunan tersebut menjadi satu perhimpunan haram dan pelbagai perkara yang tidak diingini boleh berlaku yang boleh menyebabkan nama Negara tercemar.
Malaysia merupakan sebuah Negara demokrasi berparlimen. Setiap rakyat Malaysia mempunyai hak kebebasan bersuara tetapi hendaklah mengikut lunas undang-undang yang sah seperti yang termaktub di dalam perlembagaan Malaysia. Tetapi apabila seseorang rakyat Malaysia itu menjadi “terlebih pandai”, maka undang-undang sudah tidak menjadi perkara penting baginya asalkan matlamatnya tercapai. Orang seperti inilah yang menjadi duri dalam daging yang akan menghancurkan Negara dan menjadi pengkhianat Negara.
Umum mengetahui harga paras minyak global telah berada pada paras AS$90 setong dan dijangka akan naik sehingga AS$100 setong. Kenaikan harga petrol memang tidak dapat ditangguhkan berikutan kerajaan terpaksa menanggung subsidi bahan api tersebut berjumlah hampir RM 35 bilion dan jika kerajaan terpaksa menanggung berterusan subsidi tersebut untuk tempoh jangka panjang maka ia akan memberi kesan buruk kepada ekonomi Negara. Di mana subsidi sebanyak itu mampu digunakan oleh kerajaan untuk membangunkan Negara seperti membina sekolah, jalan raya, hospital dan sebagainya. Secara tidak langsungnya melalui kenaikan tersebut mampu untuk menjana ekonomi dan memberi perolehan kepada pendapatan kerajaan.
Apabila jumlah subsidi meningkat, maka jumlah wang yang terpaksa digunakan oleh kerajaan bagi tujuan pembangunan akan turut berkurang dan secara tidak langsung mengurangkan keupayaan kerajaan untuk mengurangkan defiset Negara. Ia juga turut menyumbangkan masalah penyeludupan minyak ke Negara jiran. Penyeludupan ini haruslah dikawal bagi mengelakkan Negara mengalami kerugian besar.
Walaupun Negara kita merupakan pengeluar minyak, tetapi harus diingat bahawa harga minyak dan produk petroleum ditentukan oleh pasaran dunia dan di luar kawalan Malaysia. Di Malaysia Petronas hanya menguasai 30% pasaran dalam sektor penjualan runcit produk petroleum tempatan dan selebihnya dikuasai syarikat petroleum asing. Oleh itu, jika petronas dikehendaki menaikkan harga minyak atau menanggung subsidi minyak secara langsung, ini bermakna ia turut memberi subsidi kepada syarikat minyak asing.
Harap sedarlah wahai rakyat Malaysia yang masih cintakan keamanan. Elakkanlah terlibat dalam demontrasi jalanan yang hanya akan mencemar imej Negara di mata dunia sahaja. Jangan hanya mengikut kelompok-kelompok yang berjuang demi kepentingan politik mereka sahaja tanpa mengambil kira alas an yang munasabah dan rasional.
Pencinta Keamanan